BESUT 6 Julai - ``Berkahwin lebih daripada satu bukanlah semata-mata kehendak nafsu saya tetapi ia lebih kepada memenuhi permintaan isteri-isteri saya,'' jelas Ariffin Muhamad, 65, atau dikenali dengan gelaran Ayah Pin.
Katanya, jika diikutkan kemahuannya cukuplah sekadar beristeri satu sahaja dan bukannya dua, tiga atau empat seperti mana yang dimilikinya sekarang.
``Isteri pertama saya (Che Minah Ramli, 58) sendiri yang memilihkan saya jodoh kedua iaitu Zaharah Awang, 45. Mereka berdua pula kemudian mencarikan isteri ketiga buat saya iaitu Ruzilan Mokhtar, 41.
``Ketiga-tiga mereka pula mencarikan saya jodoh keempat iaitu Nik Kamariah Nik Pah, 33. Kalau tanya saya, satu isteripun dah tak larat, tetapi saya perlu hormat permintaan isteri-isteri saya,'' katanya di sini, hari ini.
Isteri pertama, kedua dan keempat kesemuanya berasal dari Pasir Puteh, Kelantan manakala isteri ketiga pula berasal dari Jerangau, Dungun.
Dalam pada itu, Ayah Pin mengakui pernah menceraikan isteri keempatnya sebelum ini, Aziam Ariffin kira-kira 20 tahun lalu berikutan bekas isterinya itu mahukan perhatian yang lebih daripadanya.
``Perceraian saya dengan Aziam berlaku dalam keadaan baik dan kami tidak bergaduhpun.
``Saya juga pernah menceraikan isteri ketiga (bukan Ruzilan) beberapa tahun lalu dan dia kemudian berkahwin lain dan telah meninggal dunia,'' ujarnya.
Menyentuh mengenai rahsia rumah tangganya, Ayah Pin berkata, dia tidak pernah melebihkan mana-mana isteri sebaliknya memberikan kasih sayang dan belaian sama rata terhadap semua isterinya.
``Kita orang lelaki ini kenalah pandai dan adil. Kalau tidak mereka lari,'' katanya
0 Response to "national berita my"
Post a Comment